Projek Pembangunan Dan Naiktaraf KUIM Untuk Tampung 7,000 Pelajar


ALOR GAJAH, 17 Okt (Bernama) -- Satu projek pembangunan serta menaiktaraf Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) termasuk pembinaan asrama bernilai kira-kira RM121 juta yang boleh menampung seramai 7,000 pelajar bagi memenuhi taraf institusi itu kepada universiti penuh menjelang 2017.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata projek yang dijangka bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam masa tiga tahun itu dikendalikan oleh Optimal Property Management Sdn Bhd melalui perjanjian yang diadakan bersama pihak KUIM.


"Bilangan pelajar KUIM ketika ini telah mencecah lebih 6,000 orang dan dengan pelaksanaan projek pembangunan asrama baharu ini, ia boleh membantu menyelesaikan masalah penempatan pelajar disamping menambah bilangan pelajar ke KUIM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek itu di kampus KUIM di sini, hari ini. Turut hadir Naib Canselor KUIM Prof Dr. Mohd Taib Dora.

KUIM pada masa ini mempunyai tiga kolej kediaman pelajar di tiga lokasi sekitar Kuala Sungai Baru, di sini yang berkapasiti 5,000 pelajar.

Idris yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM berkata projek asrama berkeluasan 6.3 hektar (15.58 ekar) itu membabitkan pembinaan sembilan blok asrama pelajar, enam unit rumah felo, satu blok pusat kegiatan pelajar, bangunan akademik tiga tingkat yang bercirikan Islam.

Beliau berkata antara jenis bilik adalah 182 unit bilik yang boleh menampung empat orang pelajar, 16 unit bilik bagi tiga orang pelajar, sebuah unit bilik bagi pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), pejabat penyelia dan bilik tamu.

"Pembinaan projek asrama ini juga mengambil kira pelajar OKU dengan pembinaan bilik khas yang dilengkapi fasiliti seperti tandas dan kemudahan lain," katanya.

Menurut idris dengan terbinanya asrama itu, KUIM akan dapat mempertingkatkan lagi pembangunan pembelajaran pelajar di asrama dan pelbagai aktiviti berbentuk akademik dapat dihasilkan.

-- BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »