UMNO Lebih Inklusif, Terbuka Dan Demokrasi Berbanding Parti Pembangkang - Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan pelbagai tuduhan terhadap parti itu termasuklah kononnya menyekat kebebasan jurucakap untuk bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO adalah sama sekali tidak berasas.
Menurut beliau Konvensyen Agenda Pemerkasaan Ummah yang diadakan pada Selasa lalu adalah bukti jelas dan bukti yang cukup terang bagaimana bukan sahaja jurucakap tidak dikongkong malah turut memberi ruang serta peluang kepada akar umbi lain selain daripada ahli parti untuk menyatakan pendapat dan sebagainya lagi.
“Penglibatan NGO Melayu, pakar-pakar Melayu dalam bidang masing-masing yang bukan pun di kalangan ahli UMNO turut kita jemput dalam konvensyen itu untuk memberikan pandangan masing-masing. Jelas kita memberikan satu ruang yang cukup terbuka di mana pandangan mereka itu juga mewakili hasrat orang Melayu. Inilah paltform terbaik untuk UMNO mendengar dan memahami kehendak serta kerisauan mereka.
“Apa yang Datuk Seri HishammRazali Ibrahimuddin Hussein lakukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Usul ialah mahu melihat apa jua isu yang dekat dengan nadi dan naluri rakyat dibincang dan diangkat oleh parti bagi mencari jalan penyelesaian. Saya sendiri melaksanakan tugas untuk meneliti usul-usul di peringkat cawangan dan kita serahkan untuk meja bulat dan konvensyen untuk kita bincang.
“Kemudiannya kita menggarap isu-isu tersebut bersama jurucakap. Kalau orang cakap kita susun atau pun sekat jurucakap tak betul. Mereka itu jurucakap. Sebagai contoh saya menjadi jurucakap negeri Johor saya bebas bercakap apa yang saya suka tetapi suara UMNO Johor itu perlu saya bawa. Bukan mewakili jurucakap individu.
“Jadi tidak salah untuk kita kongsi resolusi daripada konvensyen agenda pemerkasaan ummah dengan jurucakap. Jurucakap akan susun ikut penyampaian dan mereka boleh tokok tambah. Resolusi bersifat dasar dan tidaklah ada penceritaan yang menyeluruh tetapi lebih kepada konsep. Pada saya ramai lebih baik daripada seorang,” katanya kepada UMNO-Online.
Tegas beliau lagi walaupun UMNO sering dituduh serta ditohmah dengan macam-macam, namun parti itu bukanlah mahu mendabik dada dalam apa jua konteks termasuklah soal inklusif mahu pun soal demokrasi.
“Kita sering dituduh dan kadang-kadang kita pun tidaklah mahu mendabik dada. Tetapi dalam keadaan tidak beritahu apa kita buat nampak tuduhan itu macam betul. Sebab itu dalam inklusif ini UMNO paling terbuka. Kita dah ada perubahan kepimpinan cukup banyak berbanding parti lain. Parti lain bercakap perjuangkan soal keadilan dan keterbukaan padahal dia paling tak adil dan terbuka.
“Kita tidak bercakap kita paling terbuka dan memperjuangkan hak ahli tetapi kita buat. Saya tidak nampak orang yang sama sejak penubuhan parti UMNO. Itu contoh dari sudut kepimpinan. Itu pun inklusif juga. Kita dituduh tidak beri peluang kepada pemimpin muda tetapi pemimpin muda silih berganti dalam UMNO.
“Berbanding parti lawan saya tengok sama sahaja. Kalau kita nak berbahas dalam konteks fakta semua tahu parti sana menolak demokrasi pun. Orang yang menang paling tinggi pun belum tentu jadi ketua dan yang mendapat undi paling rendah diangkat kedudukan yang lebih tinggi.
“Monopoli satu kaum akhirnya terpaksa lantik kaum lain untuk imbangi. Kita tidak cakap parti pelbagai kaum tetapi kita tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Mereka kata ‘multi racial’ tetapi yang menang satu kaum sahaja. Ini adalah fakta terhadap inklusif, keterbukaan yang selama ini menjadi persoalan dan pertanyaan. Namun dalam UMNO konvensyen menjadi bukti kepada apa yang selama ini dituding kepada kita,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »