Melaka Pantau Perkembangan Badrul Hisyam - Ketua Menteri



Kerajaan Melaka akan memantau secara dekat perkembangan atlet olahraga remaja negara, Badrul Hisyam Abdul Manap bagi memastikan anak jati Melaka itu menjadi pelari pecut terbaik Malaysia pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak mahu pelari berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin dekat sini, terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mungkin memberi pandangan atau nasihat yang tidak sepatutnya kepada pelari muda itu.

Justeru, katanya kerajaan negeri mengarahkan Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim memantau perkembangan Badrul Hisyam dalam memastikan atlet itu mendapat sokongan sepatutnya bagi menjadi pelari pecut yang disegani.

"Kita tidak mahu mensia-siakan bakat beliau dan kita akan memerhati Badrul dengan lebih dekat dan kita merancang untuk bantu meningkatkan prestasinya, kita akan terus memberi sokongan kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Melaka di sini hari ini.

Badrul Hisyam melakar sejarah memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek dengan catatan 10.29s, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod milik Watson, di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN 2015 di Brunei pada 23 Nov.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri mengarahkan semua pembangunan baharu dan lama di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menyediakan kemudahan kepada pengguna dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Sehubungan itu, beliau berkata setiap PBT di negeri ini perlu menetapkan usaha tersebut sebagai syarat kelulusan bagi semua jenis pelan pembangunan baharu.

"Kebanyakan tempat awam di negeri ini mempunyai kemudahan OKU, namun tidak banyak di bangunan swasta. Jadi kita putuskan supaya semua bangunan baharu dan lama sama ada bertujuan awam atau persendirian, mesti menyediakan kemudahan untuk OKU," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata kerajaan negeri tidak memutuskan sebarang tindakan berhubung penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape oleh masyarakat di negeri ini.

"Kita tidak ada sebarang pelan tindakan setakat ini ke atas pengguna vape. Pada masa ini, kita sedang menunggu keputusan dan polisi yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

SUMBER

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »