Parti baharu hanya untuk lunas dendam terhadap PM - Idris Haron

Foto - Muhammad Hatim Abd Manan


AYER KEROH: Cadangan penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak lebih kepada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron, berkata bekas Perdana Menteri itu hanya mahu menggunakan peluang menubuhkan parti baharu semata-mata mahu melunaskan dendamnya terhadap pemimpin nombor satu negara dan bukannya bertujuan membela nasib rakyat.

"Saya nampak ia jalan keluar bagi Tun Mahathir untuk mencari kekuatan sebenar dengan menubuhkan parti baharu, termasuk berapa ramai ahli parti bersama-sama beliau.

"Ketika beliau (Dr Mahathir) sebagai Presiden UMNO dulu, saya masih ingat dalam ucapannya yang berkali-kali menyebut tidak ada parti lain yang tadbir urusnya terbaik sebagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN). Hari ini, Tun Mahathir seolah-olah termakan dengan kata-katanya sendiri," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini. 

Turut hadir, isteri Idris, Datin Seri Fadilah Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Azmi Hussein dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Rahman Ismail. 

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan pembentukan pakatan baharu serta akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU Ke-14.

Idris yakin parti baharu itu hanya akan mengalami nasib sama seperti parti Semangat 46 serta PKR yang ditubuhkan atas dasar kecewa kepada kepemimpinan parti. 

"Nasihat saya kepada ahli UMNO, nilailah yang mana kaca dan yang mana permata. Ingatlah sejarah UMNO ditubuhkan untuk membela nasib rakyat serta membebaskan diri daripada penjajah," katanya.


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »