Penubuhan parti baharu tak gugat BN - Razali



MUAR: Penubuhan parti baharu di negara ini tidak akan menggugat Barisan Nasional (BN) kerana perjuangan BN adalah jelas dan diterima oleh rakyat sekian lama, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. 

Beliau berkata wujud perpaduan dan kerjasama erat antara parti komponen dalam BN sehingga dapat bertahan dalam jangka masa yang lama. 

"BN dapat bertahan lama (memerintah negara) kerana matlamat dan perjuangannya adalah jelas serta diterima oleh majoriti masyarakat di negara ini," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Muar, di sini, malam tadi. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada khamis lepas yang mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu untuk menentang BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang. 

Kepada soalan adakah penubuhan parti baharu itu satu ancaman kepada BN, Razali menegaskan BN sentiasa berdepan dengan ancaman dari semasa ke semasa dan pada setiap kali berdepan dengan pilihan raya umum. 

"Ancaman satu persatu timbul sejak dari awal penubuhan lagi iaitu bermula dari zaman kemerdekaan, zaman komunis, zaman penularan pemikiran sosialis dan kita juga pernah berhadapan dengan pelbagai bentuk masalah seperti bertanding ketika keadaan ekonomi tidak berapa baik, namun, apa yang penting adalah kita dapat bertahan," katanya. 

Razali berkata penubuhan parti baharu yang bakal bertanding pada pilihan raya umum merupakan sesuatu yang boleh dianggap baik dalam sebuah sistem demokrasi. 

Ditanya sejauh mana beliau melihat parti baharu itu akan mampu bertahan, anggota Parlimen Muar itu berkata tempoh daya tahan sesebuah parti itu akan bergantung kepada matlamat sebenar sesebuah parti itu ditubuhkan. 

"Kalau parti itu ditubuhkan semata-mata untuk menentang seorang perdana menteri mungkin tidak lama ia dapat wujud," katanya. 

Di KUALA TERENGGANU, Pemuda UMNO Terengganu juga yakin penubuhan parti baharu itu tidak akan memberi impak besar kepada BN. 

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar dalam kenyataan hari in i berkata sebaliknya tindakan Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baharu itu memberi semangat kepada barisan Pemuda negeri untuk bekerja lebih kuat. 

"Beberapa strategi baharu telah dirangka untuk membela nasib rakyat ... pelbagai program telah dilaksanakan antaranya program turun padang dan program untuk belia yang merangkumi sosial, sukan, kebajikan dan keagamaan," katanya.



Share this

Related Posts

Previous
Next Post »