Projek HSR bakal pacu ekonomi - KM Melaka



MELAKA: Kerajaan negeri optimis projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura akan membantu memacu pembangunan ekonomi di setiap stesen yang dilaluinya. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kawasan Ayer Keroh di sini, yang menjadi satu daripada tujuh stesen projek pengangkutan berimpak tinggi itu secara tidak langsung mendapat banyak manfaat dari segi kerancakan ekonomi di sekitarnya, termasuk bandar Melaka secara keseluruhannya. 




Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana Kerajaan Pusat memilih Ayer Keroh sebagai stesen dilalui HSR dalam perjalanan yang dianggarkan sejauh kira-kira 350 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. 

"Selama ini kita hanya dengar cerita di sana sini, tetapi hari ini saya diundang sama ke majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur berhubung projek berkenaan, sekali gus menandakan pemilihan Ayer Keroh sebagai tapak hentian HSR. 

"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri upacara penyampaian Watikah Tauliah Pegawai Muda Tentera Darat Tauliah Luar Negara kepada Raja Muda Selangor, Leftenan Muda Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama empat lagi pegawai muda di PARAWOOD Kelapan Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kem Terendak, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan upacara penyampaian watikah berkenaan yang Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. 

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. 


Projek itu apabila siap kelak akan menyediakan perjalanan cepat dan selesa Singapura-Kuala Lumpur, selain menjadi projek dilaksanakan secara bersama antara kedua-dua negara.


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »