Ambil Berat Perkembangan Politik Tanah Air Demi Parti - Razali Ibrahim


KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama)-- Anggota UMNO perlu 'mengambil pusing' dan memerhatikan setiap perkembangan politik tanah air termasuk cadangan penubuhan parti baharu supaya dapat meningkatkan semangat mereka untuk bekerja lebih keras demi masa depan parti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata ini berikutan perkembangan politik negara pada masa kini mempunyai cabaran tersendiri.

TONTON VIDEO DISINI

"Kalau kita tidak ambil pusing, kita tak akan ada semangat. Benda ini menyuntik semangat saya untuk bekerja lebih kuat. Sebab itu saya ajak lebih ramai lagi untuk bersemangat sebab kita ada lawan.

"Dulu orang kata dia ahli kita, kita tak tahu apa nak buat. Sekarang ini kalau orang itu berlawan dalam pilihan raya, dia musuh kita," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengenai sama ada anggota UMNO tidak perlu mengambil berat mengenai penubuhan parti baharu, dengan terbaru bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat.

Razali turut menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai 'tidak ada yang baharu' kerana sudah banyak parti baharu didaftarkan.

"Jadi tidak ada masalah untuk mereka daftarkan. Dalam kes ini saya rasa perlu kita bersedia tetapi ketakutan itu tiada...sebab sebelum ini pun macam itu juga.

"Asal tubuh parti baharu ia dikepalai oleh serpihan. Parti Amanah Negara, PKR pun sama. So ia seperti trend. Ia bukan satu parti baharu yang cuba diwujudkan yang diketuai oleh orang yang kita tak kenal," kata beliau.

-- BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »