Kenyataan Media YB Dato' Razali Bin Ibrahim - Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri




KENYATAAN MEDIA

YBHG DATO’ RAZALI IBRAHIM,
TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
BERKAITAN FELDA INVESTMENT CORPORATION SDN BHD


Putrajaya, 19 Januari 2017 Sukacita dimaklumkan bahawa saya bersetuju dengan kenyataan Pengerusi FELDA yang telah memberi penekanan kepada penstrukturan semula Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dalam usaha membawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk terus berkembang maju.



Saya percaya bahawa penstrukturan ini adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dan juga aspirasi Kerajaan untuk menjadikan agensi Kerajaan dan Badan Berkanun sentiasa menjunjung tinggi terhadap urus tadbir yang baik dan budaya kerja yang berintegriti.

FIC merupakan badan yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai perusahaan pelaburan Kumpulan FELDA sudah tentu perlu diberi penambahbaikan dan dimantapkan bagi memastikan segala pelaburannya dapat membawa keuntungan kepada FELDA. Justeru, pembentukan barisan kepimpinan FIC ini akan menjadi perkara utama dan elemen paling kritikal untuk dilaksanakan serta diselaraskan bersesuaian dengan penyusunan semula badan pelaburan itu.

Pengerusi FELDA perlu diberi kebebasan untuk membentuk pasukan baru ini dan perlu mendapat sokongan semua pihak. Peletakan jawatan dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah FIC seperti diminta oleh Pengerusi FELDA akan memastikan ketelusan dalam proses ini sekaligus melancarkan lagi penstrukturan semula FIC.

Besar harapan saya agar penstrukturan semula yang dirancang ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan sekaligus dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada warga peneroka iaitu stakeholder terpenting FELDA dan mengembalikan semula FELDA ke zaman kegemilangannya seperti suatu masa dahulu.



  
Disediakan oleh:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN PERDANA MENTERI


19 Januari 2017

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »