Melaka United digesa tingkat kualiti


PASUKAN Melaka United digesa mempertingkatkan kualiti permainan dengan beraksi lebih cemerlang lagi pada perlawanan seterusnya agar dapat terus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini.

Presiden Melaka United yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata barisan pemain terutama di posisi pertahanan dilihat kurang memainkan peranan mereka walaupun pada dasarnya mereka dilihat telah bermain dengan baik.

"Ada pemain terutama di bahagian pertahanan kita lihat telah menunjukkan kerajinan mereka di dalam padang dan bermain dengan baik tetapi mereka sebenarnya lupa peranan mereka sebagai pemain pertahanan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Sikap mereka itu menyebabkan pihak lawan dapat membolosi pertahanan dengan mudah dan menyebabkan Melaka United gagal memperoleh mata seperti yang diharapkan, kata beliau.

Melaka United kini berada di tangga ketujuh dengan tujuh mata yang diperoleh dalam enam perlawanan yang dihadapi setakat ini.

Mengulas lanjut, Idris yang turut melahirkan rasa kecewa dengan pencapaian Melaka United setakat ini berkata jadual padat dan masa waktu rehat yang pendek bukan alasan untuk Skuad Sang Kancil itu tidak mempamerkan aksi cemerlang mereka.

Beliau berkata Ketua Jurulatih Melaka United Eric Williams seharusnya lebih bijak mengatur permainan dengan menurunkan pemain yang mampu beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan yang dihadapi dan merehatkan pemain yang keletihan.

"Saya meletakkan ini pada kebolehan jurulatih dan pemain itu sendiri. Jurulatih mesti mengenal pasti pemain yang boleh dan tidak boleh beraksi dalam sesuatu perlawanan," katanya. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »